Posts Tagged 'islam'

Dunia ini penting bagi umat Islam

Oleh DATO’ HJ DUSUKI HJ AHMAD

 

SUATU hari dalam tahun awal lapan puluhan, saya memberi ceramah agama di sebuah masjid sempena sambutan Maal Hijrah. Kehadiran saya adalah atas jemputan jawatankuasa masjid yang berkenaan. Ketika itu saya bertugas sebagai Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di bawah Almarhum Tun Syed Nasir Ismail selaku Yang Dipertuanya.

Kebetulan pada waktu itu seramai kira-kira 20 orang jemaah Tabligh sedang berada dalam masjid yang berkenaan. Mereka sudah pun berada di situ beberapa hari yang lalu dan akan terus di situ sehingga tujuh hari. Mereka sama-sama berjemaah Maghrib dan Isyak yang saya menjadi imamnya.

 

Ketika saya meminta salah seorang daripada mereka menjadi imam, tidak ada sesiapa yang bersedia untuk itu. Mereka menghormati saya dan semuanya menjadi makmum di belakang saya. Tetapi ketika saya sedang memberi ceramah, mereka beredar ke serambi. Saya diberitahu kemudiannya bahawa mereka bertazkirah sesama sendiri dalam majlis yang diberi nama “bayan”. Seorang daripada mereka yang dipanggil imam membaca sepotong hadis dan masing-masing menghuraikannya secara bergilir-gilir kepada kawan-kawan lain menurut fahaman sendiri.

 

Kira-kira sebulan kemudian jemaah ini mengunjungi saya di rumah saya di Petaling Jaya, Selangor. Ketika itu saya baru selesai sembahyang Isyak. Mereka berbual panjang dengan saya berkenaan dengan isu Islam dan masalah umat Islam sejagat. Saya amat gembira dan senang hati dengan perbualan itu. Banyak maklumat yang saya perolehi.

 

Hampir jam 12.00 tengah malam mereka mohon izin berundur. Ketika bersalam di luar rumah untuk mengucapkan terima kasih dan selamat malam, salah seorang daripada mereka yang terakhir bersalam, menggenggam tangan saya dengan kemas, kemudian meminta izin untuk memberi nasihat kepada saya.

 

Saya senyum saja dan tidak ada apa-apa halangan untuk menerima nasihat itu. Lebih-lebih lagi dia membaca ayat yang membawa maksud “hendaklah kamu ingat mengingat antara satu sama lain, kerana ingat mengingat itu memberi manfaat kepada orang mukmin”.

 

Dia terus saja berkata ketika tangan saya masih dalam genggamannya yang tidak dilepaskannya sejak tadi. “Saya nasihatkan Dato’ supaya dalam menjalankan kerja harian Dato’, marilah kita sama-sama ikut Sunnah Rasul sallallahu alaihi wasallam.” Kawan-kawannya yang lain yang berada di sekeliling menyambut sebutan selawat itu secara beramai-ramai.

 

Saya terpegun seketika dan merasai tercabar semacam hidup saya ini belum mengikuti Sunnah Rasul walaupun sedikit. Mungkin secara halus mereka menyindir saya kerana tidak berkopiah, tidak berjubah dan tidak berjanggut seperti mereka. Atau mungkin di ruang tamu rumah saya ini dihiasi gambar besar keluarga saya dan gambar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

 

Saya ingin mendapat penjelasan mereka dan menjemput semula mereka masuk ke dalam rumah. Saya terus saja bertanya, “Apakah saudara dapat terangkan kepada saya erti dan maksud sunnah Rasul?”

 

Mereka berpandangan antara satu sama lain. Kemudian seorang daripadanya menjawab secara tertib dan beradab. Dia meminta maaf lebih dahulu dan berkata: “Semua perbuatan, semua perkataan dan semua pengakuan yang keluar (dipraktikkan) daripada Nabi adalah semuanya sunnah.”

 

Saya memberi pengakuan bahawa takrif yang disebutkan itu adalah benar dan betul. Tetapi apakah semua sunnah sebagaimana yang difahaminya itu dari segi hukumnya wajib diikuti. Saya mencampakkan soalan ini kepada mereka, tetapi tidak ada yang bersedia untuk menjawabnya.

 

Saya agak kasar memberi penjelasan, kerana saya merasai mereka menganggap bahawa saya dan orang yang serupa dengan saya ini tidak sempurna Islamnya kerana tidak berpakaian seperti mereka dan di dinding rumah saya dihiasi dengan gambar-gambar makhluk bernyawa.

 

“Saya mohon maaf untuk berkata bahawa awak adalah orang pertama yang akan menjadi penghuni neraka.”

 

Mereka terkejut kehairanan dan berpandangan sesama mereka. Saya terus saja bertanya: “Apakah awak semua ini beristeri dengan seorang perempuan tua yang sudah janda dua kali? Saya tidak fikir begitu. Jika demikianlah maka awak semua berdosa kerana tidak mengikut sunnah sebagaimana yang awak semua faham.”

 

Jika semua sunnah wajib diikut, maka semua lelaki dan perempuan Islam hari ini sudah tidak dapat berkahwin lagi, kerana isteri pertama bagi seorang lelaki itu mesti seorang perempuan janda tua. Di mana mendapatkan janda kerana seseorang itu hanya menjadi janda apabila dia sudah bersuami.

 

Kemudiannya saya terus menjelaskan pengertian sunnah dan memberitahu mereka bahawa perkara-perkara berhubung dengan kehidupan khusus Nabi, hal-hal peribadi baginda, amalan kebiasaan orang Arab, cara-cara makan minum dan pakaian mereka dan sebagainya tidaklah menjadi sesuatu hukum yang wajib diikuti.

 

Bahkan hal-hal berhubung dengan pentadbiran keduniaan ini, Allah tidak menentukan prosedur pelaksanaannya secara tetap (rigid) melainkan dalam bentuk umum, kerana ia tertakluk kepada perubahan masa dan perbezaan tempat.

 

Memang benar bahawa Islam itu mencakupi dan melengkapi segala-galanya (syumul dan tadhamun), tetapi ia tidak jumud dan beku. Sifatnya dinamik dan bertenaga. Ia tidak menyediakan jawapan yang terperinci bagi setiap masalah yang timbul, kerana setiap masalah itu berbeza dan jawapannya sudah tentu tidak serupa menurut tuntutan zaman dan tempat yang sifatnya tidak sama.

 

Saya menegaskan, “Awak semua selesa simpan janggut, pakai jubah dan berserban dengan ekor serban yang panjang, pakailah. Saya hormat dengan pakaian awak begitu. Mungkin pakaian begitu dapat menghalang awak daripada melakukan kerja-kerja mungkar dan maksiat. Tetapi janganlah menganggap orang lain yang tidak serupa dengan awak sebagai dosa.”

 

Kemudian seorang daripada mereka menceritakan, “Antara kami ramai yang telah melakukan zina, minum arak, tidak pernah mengerjakan ibadah sembahyang dan puasa. Tetapi setelah berkenalan dengan jemaah Tabligh, terus saja kami dapat meninggalkan segala dosa besar itu. Hati kami pula merasa suci, tenang dan dapat pula kami keluar berdakwah kepada orang lain.”

 

“Baguslah,” jawab saya. “Tetapi pakaian yang serebeh, selekeh dan tidak kemas seperti tidak kemasnya pakaian golongan ‘hippi’ bukanlah tuntutan Islam. Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta kamu, tetapi Dia memandang kepada hati kamu dan amal kamu.” Hadis ini tidak boleh dijadikan hujah untuk hidup secara serebeh dan selekeh tanpa disiplin yang teratur.

 

Meninggalkan rumah tangga dan keluarga dengan menentukan masa tujuh hari, empat puluh hari atau empat bulan itu bukanlah ajaran Islam. Mencipta ajaran baru yang tidak ada dalam ajaran Islam boleh terjebak kepada pembaharuan dalam agama yang menyesatkan (bidaah dhalalah).

 

Suatu hadis bermaksud: “Jangan kamu mengadakan sesuatu yang baru dalam beragama, kerana benda yang diadakan itu bidaah. Setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu berakhir di neraka.” Lebih buruk lagi apabila ada di kalangan anggota Tabligh ini melibatkan dalam perkara hukum yang dia tidak tahu. Dengan demikian berlakulah yang haram menjadi harus dan yang harus bertukar menjadi haram. Saya selalu dengar kata-kata mereka: “dunia ini seperti bangkai dan penghuninya anjing.”

Ayat-ayat al-Quran yang menggambarkan kebaikan hidup di akhirat dicerita dan diberikan ulasan yang difahami sebagai mencela dan mencerca dunia.Kesannya, ramai di kalangan mereka yang cuai dan mengabai tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat, bahkan lupa kepada tugas yang dipertanggungjawabkan dan kerjayanya dalam bidang yang berkenaan. Ketika ini mereka sudah menjadi kabur dan keliru untuk membezakan antara yang penting dengan yang lebih penting, bahkan tidak tahu ‘memparakkan’ antara fardu ain dengan fardu kifayah.

Paling malangnya, ada pula yang berkata bahawa keluar meninggalkan rumah tangga itulah sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah. Jika berlaku kesulitan kepada anak-anak dan isteri di rumah, maka itu dianggapnya sebagai takdir. Mereka tidak diberi pengetahuan bahawa kedatangan takdir itu, baik buruknya, adalah akibat daripada sebab musabbab yang berlaku sebelumnya.

 

Memang ramai sahabat pada zaman Nabi dan Khulafa Rasyidin yang keluar berdakwah, tetapi mereka keluar dengan ilmu yang penuh di dada. Mereka faham al-Quran dan hadis, juga tahu berijtihad jika berada dalam keadaan yang memerlukan demikian. Mereka juga keluar tanpa ditentukan masa.

 

Tidak dapat dinafikan ada masjid yang ramai berjemaah kesan daripada gerakan Tabligh. Tetapi lebih berkesan lagi sekiranya kesempatan jemaah yang ramai itu ditanamkan ‘semangat tuntut ilmu’ dalam pelbagai bidang yang berbeza sehingga dapat memenuhi keperluan umat Islam. Timbulkan kesedaran bahawa Allah tidak memuliakan orang miskin, kerana kemiskinan boleh menjejaskan iman dan takwa. Tingkatkan semangat supaya rajin beramal dan bekerja bagi pengukuhan ekonomi dan kemantapan sosial rakyat yang beragama Islam.

 

Tabligh akan dihormati apabila ianya mempunyai peranan menanam dan menyuburkan kesedaran bahawa hidup di dunia ini juga penting bagi umat Islam. Walaupun batas hidupnya amat terhad, tetapi anak cucu dan warisan yang merupakan generasi bangsa perlu hidup berterusan secara sambung menyambung. Mereka tidak mungkin dapat hidup dan meneruskan warisan bangsanya dalam keadaan miskin dan lemah.

Sumber : http://islamhadhari.net/?p=111


KALENDAR

April 2024
I S R K J S A
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Malaysian Muslim Blog

  • Malaysian Muslim Blogs

Tajdid

  • Pro-Tajdid Segar

Statistik

  • 61,648 lawatan