Arkib untuk 15 Mei 2007

KEDUDUKAN HADITS DI SISI AGAMA ISLAM

 السلام عليكم ورحمة الله

KEDUDUKAN HADITS DI SISI AGAMA ISLAM

Hadits-hadits Rasulullah saw yang dikumpul dan direkodkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah, Nasa’i, dan lain-lain (yang mana jumlahnya ialah seramai  23 orang – ke-enam-enam tadi – yang diakui sebagai pengumpul dan perekod hadits itu) adalah sumber kedua selepas Al-Quran.

Hadits adalah apa yang direkodkan yang terdiri daripada perkataan Nabi saw, perbuatan Nabi saw, dan apa saja yang didiamkan Nabi saw menunjukkan kebenarannya dilakukan.

Sumber kepada hadits-hadits yang menceritakan perilaku rasul saw itu adalah wahyu daripada Allah Ta’ala sendiri.

Wahyu adalah yang diturunkan atas perintah Allah Ta’ala kepada Nabi saw, yang mana himpunan wahyu-wahyu ini jadilah apa yang dipanggil Al-Quran, manakala hadits adalah juga wahyu daripada Allah Ta’ala kepada Nabi saw tetapi bukanlah ayat Quran.

Hadits adalah sumber yang ke-2 selepas al-Quran. Dalam pengistibatan atau pengeluaran hukum hakam agama Islam, hadits-hadits shahih dan hasan dapat digunakan sebagai dalil selepas ayat-ayat Al-Quran.

Hadits-hadits dhoif diterima sebagai dalil untuk sesuatu amalan fadha’il (iaitu fadha’il amal – kelebihan untuk amalan), tetapi tidak boleh digunakan sebagai dalil hukum hakam melainkan dengan caranya yang memerlukan penjelasan tersendiri.

Hadits-hadits palsu tertolak sama sekali.

Dalil akan kedudukan hadits-hadits Rasulullah saw dalam perkara ini adalah firman Allah Ta’ala yang saya sebutkan sebelum ini, Surah Al-Hasyr, ayat 7::

﴿ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴾

Maksudnya::

Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasul Allah kepada kamu maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya.

Satu lagi dalilnya adalah, firman Allah Ta’ala dalam Surah An-Najm, ayat 3-4::

﴿ وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى ﴾

Maksudnya::

Dan ia (iaitu Nabi Muhammad saw) tidak memperkatakan (sesuatu yang berbohong dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pandangannya sendiri.Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadits) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya.”

Jadi, jelas hadits-hadits yang dikenalpasti shahih, hasan dan dhoif mengikut pentarafan melainkan yang palsu juga adalah sebenarnya wahyu daripada Allah Ta’ala kepada nabi saw yang bukan Quran, tetapi haditslah.

Wallahu Subhanahu Wa Ta’ala A’lam.

Sekian.

Hadits : “Lapar”

السلام عليكم ورحمة الله

Suatu hadits secara umumnya adalah perkataan yang disebutkan oleh Nabi (صلى الله عليه وسلم), perbuatannya sama ada mendiamkannya, atau menegahnya, dan apa sahaja perkara yang dilakukan oleh baginda (صلى الله عليه وسلم).

Demikianlah persoalan pasal serban. Sebelum Nabi diangkat menjadi Rasul Allah semasa berusia 40 tahun, baginda (صلى الله عليه وسلم) memakai serban. Begitu juga datuknya, moyangnya, dan sebagainya, kerana ianya tradisi orang Arab. Bagaimanapun, apabila Nabi (صلى الله عليه وسلم) diangkat menjadi Rasul Allah, serban yang dipakainya sudah menjadi suatu amalan sunnah yang mana hukumnya jatuh sunat. (Cukup setakat ini dulu bincang soal ilmu hadits).

Saya nak sebut satu hadits yang selalu dilupakan orang iaitu satu hadits yang paling panjang yang memerlukan masa selama hampir 23 tahun untuk meriwayatkannya. Oleh kerana terlalu panjang, maka kitapun selalu terlupa hadis ini.

Hadits ini berhubung dengan perkara lapar. Ketika wahyu pertama turun, Nabi berada dalam keadaan lapar. Dalam banyak waktu lain Nabi berada dalam keadaan sedikit kenyang dan banyak berlapar. Adakalanya perutnya diikat. Sehinggalah disaat kewafatannya, Nabi mengosongkan perutnya. Wafatnya dalam keadaan lapar. Rupanya, tatkala wafatnya Nabi barulah hadits lapar ini tamat!!!

Demikianlah hadits yang demikian panjang. Tetapi sering dilupakan… Kerana terlupa hadis ini, lahirlah ramai ‘ulama’ terlebih muatan. Ada dikalangan mereka juga yang merupakan ‘ulama” hadis… Maka berhujahlah mereka tatkala berhujah dengan akal terkurung dan hati yang mati.

Demikianlah berlaku apabila kita berada dizaman yang jauh dengan Nabi. Maka kefahamanpun menjadi semakin jauh. Perkara yang ditafsir dizaman para tabi’in yang begitu panjang lebar, menjadi terlalu ringkas dizaman ini.

Lalu kita berkata tafsiran mereka perlu panjang lebar kerana akal mereka begitu. Perlu penerangan yang panjang baru mereka boleh faham. Sedangkan kita tak perlu terlalu panjang kerana akal kita zaman ini lebih canggih dan moden!!! Maka berhujahlah kita dengan akal kita yang canggih manggih itu…

Sebagai contoh:

Ulamak dahulu mentafsirkan iman itu sebagai ‘membenarkan dengan hati, mengucap dengan lidah dan mengamalkannya dengan perbuatan’.

Tetapi hari ini ada orang mentafsirkan iman itu sebagai percaya. Maka sesiapa yang percaya akan adanya tuhan maka dia dikira beriman.

Sesungguhnya banyak masalah dunia dan juga (ke) akhirat berpunca dari perut! Tapi jangan salah faham dengan orang buncit sebab dikatakan Sayyidina Ali karramallahu Wajhah pun mempunyai perut yang besar. Cuma Imam Ali selalu berlapar.

“Kalam” yang tak jemu didengar…

Wallahu Muwafiqu A’lam

-= x =-

-Roudhah.Net

Surah Al-An’am, ayat 19

السلام عليكم ورحمة الله

Firman Allah Ta’ala (ayat 19, Surah Al-An’am)::

 

﴿ قُلْ أَيُّ شَيْءٍ أَكْبَرُ شَهَادةً قُلِ اللّهِ شَهِيدٌ بِيْنِي وَبَيْنَكُمْ وَأُوحِيَ إِلَيَّ هَذَا الْقُرْآنُ لأُنذِرَكُم بِهِ وَمَن بَلَغَ أَئِنَّكُمْ لَتَشْهَدُونَ أَنَّ مَعَ اللّهِ آلِهَةً أُخْرَى قُل لاَّ أَشْهَدُ قُلْ إِنَّمَا هُوَ إِلَـهٌ وَاحِدٌ وَإِنَّنِي بَرِيءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ ﴾

Maksudnya::

 

Bertanyalah (Wahai Muhammad):

“Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya?”


( Bagi menjawabnya) katakanlah:

“Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan diwahyukan kepada aku Al-Quran ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan sesiapa yang telah sampai kepadanya (seruan Al-Quran itu). Adakah kamu sungguh-sungguh mengakui bahawa ada beberapa Tuhan yang lain bersama-sama Allah?”


Katakanlah:

“Aku tidak mengakuinya”.


Katakanlah lagi:

“Hanyasanya Dia-lah sahaja Tuhan yang maha Esa, dan sesungguhnya aku adalah berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan (dengan Allah Azza Wajalla)”.


HURAIAN::

Di sini, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw supaya mengemukakan pertanyaan kepada kaum kafir Quraiys: “Apakah penyaksian yang paling besar dan agung, bahkan paling benar dan jujur?”.


Kemudian Allah memerintahkan baginda supaya menjawab pertanyaan ini, bahawa kesaksian baginda yang paling besar dan tidak mungkin berlaku pendustaan, kepalsuan dan kesalahan ialah Allah Ta’ala sendiri. Allah-lah saksi antara baginda dengan mereka, kerana Allah telah mewahyukan Al-Quran itu kepada baginda agar baginda mengingatkan mereka tentang siksaan-NYA kerana mendustakan baginda saw. Peringatan ini diperkuatkan dengan kesaksian-NYA sambil mengingatkan manusia bahawa Al-Quran disampaikan kepada baginda. Ini disebabkan, setiap orang yang menerima Al-Quran bererti dia diseru supaya mengikutnya sampai hari Qiamat.


Kesaksian Allah Ta’ala antara Rasul dan kaumnya terdiri daripada 2 jenis::

1)         Kesaksian terhadap kerasulannya, dan

2)         kesaksian terhadap kebenaran yang dibawa olehnya.


Jenis yang pertama di atas, iaitu kesaksian terhadap kerasulannya, terdiri daripada 3 bahagian.


Pertama::

Allah memberitahu tentang kerasulan itu di dalam kitab-NYA sebagaimana firman-NYA (Surah Al-Fath, ayat 29)::

 

﴿ مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ

Maksudnya::

 

(Nabi) Muhammad (saw) adalah Rasul Allah …


Juga, firman-NYA (Surah Al-Baqarah, ayat 119)::

 

﴿ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيراً وَنَذِيراً

Maksudnya::

 

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang yang engar) …


Kedua::

Allah Ta’ala menguatkannya dengan pelbagai bukti. Antara bukti terbesar ialah AL-Quran. Ianya adalah mukjizat yang kekal kerana telah dipastikan bahawa manusia tidak akan mampu membuat sebuah surahpun yang sama dengannya. Ianya turut mengandungi berita-berita ghoib dan janji bagi Rasul serta orang mukmin bahawa Allah Ta’ala akan menolong dan memenangkan mereka ke atas musuh mereka.


Ketiga::

Kitab-kitab Allah Ta’ala yang terdahulu memberikan penyaksian terhadap baginda dan para rasul terdahulu pula mengkhabarkan kedatangan baginda saw. Kesaksian ini masih tetap tertulis di dalam kitab-kitab kaum Yahudi dan Nasrani.

 

Kesaksian yang jenis kedua juga terdiri daripada 3 jenis.

 

Pertamanya, kesaksian kitab-kitab Allah Ta’ala terhadap kebenaran yang dibawa baginda (صلى الله عليه وسلم) seperti firman-NYA (Surah Ali Imran: 18 – 19)::

 

﴿ شَهِدَ اللّهُ أَنَّهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ وَالْمَلاَئِكَةُ وَأُوْلُواْ الْعِلْمِ قَآئِمَاً بِالْقِسْطِ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (18) إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللّهِ الإِسْلاَمُ … ﴾

 

Maksudnya::

 

“[18] - Allah menerangkan (kepada sekelian makhluk-NYA dengan dalil-dalil dan bukti) bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan DIA. Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan DIA. Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

[19] Sesungguhnya agama (agama yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam… “.

 

Keduanya, bukti-bukti pada makhluk-NYA (al-anfus) dan cakrawala yang ditegakkan-NYA, yang menunjukkan keESAan-NYA dan sifat-sifat kesempurnaan-NYA.

 

Ketiganya, segala yang dituntutkan oleh Allah (سبحانه وتعالى) dalam fitrah insani yang berupa keimanan kepaaa satu Tuhan yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan dan kepada kekalnya ZAT (yakni diri, iaitu an-nafs) Allah (سبحانه وتعالى).

 

Kesimpulannya, kesaksian Allah (سبحانه وتعالى) adalah kesaksian tanda-tanda-NYA dalam al-Quran, tanda-tanda-NYA dalam alam dan bukti-bukti-NYA dalam akal serta perasaan.

 

Ibnu Mardawayh dan Abu Na’im  meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas secara marfu’::

 

“Barangsiapa yang al-Quran sampai kepadanya, maka seolah-olah aku bercakap dengannya.”

 

Kemudian baginda (صلى الله عليه وسلم) membaca (petikan Surah Al-An’am, ayat 19 tadi)::

 

﴿وَأُوحِيَ إِلَيَّ هَذَا الْقُرْآنُ لأُنذِرَكُم بِهِ

Maksudnya::

 

dan diwahyukan kepada aku Al-Quran ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu”.

 

 

Ibnu Mundzir, Ibnu Jarir dan Abu Syaikh pula meriwayatkan::

 

”Barangsiapa yang al-Quran sudah sampai kepadanya, maka seolah-olah dia melihat Nabi (صلى الله عليه وسلم).”

 

Abu Syaikh meriwayatkan daripada Ubay bin Ka’ab::

 

”Didatangkan kepada Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) para tahanan perang. Lalu baginda bertanya kepada mereka:

 

            ”Apakah kamu telah diseru kepada Islam?”

 

Mereka menjawab: ”Tidak!”

 

Maka baginda melepaskan mereka, lalu membaca:

 

            ”Al-Quran ini  diwahyukan kepadaku supaya aku dapat menyampaikan peringatan kepada kamu dengannya.”

 

Kemudian baginda (صلى الله عليه وسلم) bersabda lagi:

 

            ”Bebaskan mereka hingga mereka tiba di tempat yang aman, kerana mereka belum diseru kepada Islam!”

 

 

Kemudian, Allah (سبحانه وتعالى) memerintahkan Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) supaya memberikan kesaksian terhadap-NYA, bahawa DIA Maha Esa dan Maha Suci dari apa yang mereka katakan, dan kesaksian mereka sebelum itu adalah syirik.

 

Seterusnya, ayat tadi (iaitu Surah Al-An’am, ayat 19 yang sedang dibincangkan) menyebut::

 

﴿… أَئِنَّكُمْ لَتَشْهَدُونَ أَنَّ مَعَ اللّهِ آلِهَةً أُخْرَى قُل لاَّ أَشْهَدُ قُلْ إِنَّمَا هُوَ إِلَـهٌ وَاحِدٌ وَإِنَّنِي بَرِيءٌ مِّمَا تُشْرِكُونَ ﴾

iaitu maksudnya::

 

Adakah kamu sungguh-sungguh mengakui bahawa ada beberapa Tuhan yang lain bersama-sama Allah?”

 

Katakanlah:

           

            “Aku tidak mengakuinya”.

 

Katakanlah lagi:

 

            “Hanyasanya Dia-lah sahaja Tuhan yang maha Esa, dan sesungguhnya aku adalah berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan (dengan Allah Azza Wajalla)”.

 

Ayat ini dimulakan dengan pertanyaan, yang menunjukkan kepada penolakan terhadap kandungannya.

 

Kemudian Allah (سبحانه وتعالى) memerintahkan nabi-NYA supaya menjawab bahawa baginda tidak bersaksi seperti yang pernah mereka lakukan. Baginda bersaksi dengan kesaksian yang berbeza, malah jauh berbeza dari apa yang mereka akui. Lalu baginda menyatakan bahawa Tuhan itu hanya Satu, dan Maha Suci dari apa yang mereka sekutukan,yang terdiri daripada berhala, patung, dan sebagainya.

 

والله الموفق أعلم ؛ وصلى الله على محمد كلما ذكره الذاكرون؛ وغفل عن ذكره الغا فلون ؛ والسلام عليكم ورحمة الله.

 

 Dipetik dari : Forum, Roudhah.Net


c

KALENDAR

Mei 2007
I S R K J S A
    Jun »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Malaysian Muslim Blog

  • Malaysian Muslim Blogs

Tajdid

  • Pro-Tajdid Segar

Statistik

  • 28,355 lawatan