Dunia ini penting bagi umat Islam

Oleh DATO’ HJ DUSUKI HJ AHMAD

 

SUATU hari dalam tahun awal lapan puluhan, saya memberi ceramah agama di sebuah masjid sempena sambutan Maal Hijrah. Kehadiran saya adalah atas jemputan jawatankuasa masjid yang berkenaan. Ketika itu saya bertugas sebagai Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di bawah Almarhum Tun Syed Nasir Ismail selaku Yang Dipertuanya.

Kebetulan pada waktu itu seramai kira-kira 20 orang jemaah Tabligh sedang berada dalam masjid yang berkenaan. Mereka sudah pun berada di situ beberapa hari yang lalu dan akan terus di situ sehingga tujuh hari. Mereka sama-sama berjemaah Maghrib dan Isyak yang saya menjadi imamnya.

 

Ketika saya meminta salah seorang daripada mereka menjadi imam, tidak ada sesiapa yang bersedia untuk itu. Mereka menghormati saya dan semuanya menjadi makmum di belakang saya. Tetapi ketika saya sedang memberi ceramah, mereka beredar ke serambi. Saya diberitahu kemudiannya bahawa mereka bertazkirah sesama sendiri dalam majlis yang diberi nama “bayan”. Seorang daripada mereka yang dipanggil imam membaca sepotong hadis dan masing-masing menghuraikannya secara bergilir-gilir kepada kawan-kawan lain menurut fahaman sendiri.

 

Kira-kira sebulan kemudian jemaah ini mengunjungi saya di rumah saya di Petaling Jaya, Selangor. Ketika itu saya baru selesai sembahyang Isyak. Mereka berbual panjang dengan saya berkenaan dengan isu Islam dan masalah umat Islam sejagat. Saya amat gembira dan senang hati dengan perbualan itu. Banyak maklumat yang saya perolehi.

 

Hampir jam 12.00 tengah malam mereka mohon izin berundur. Ketika bersalam di luar rumah untuk mengucapkan terima kasih dan selamat malam, salah seorang daripada mereka yang terakhir bersalam, menggenggam tangan saya dengan kemas, kemudian meminta izin untuk memberi nasihat kepada saya.

 

Saya senyum saja dan tidak ada apa-apa halangan untuk menerima nasihat itu. Lebih-lebih lagi dia membaca ayat yang membawa maksud “hendaklah kamu ingat mengingat antara satu sama lain, kerana ingat mengingat itu memberi manfaat kepada orang mukmin”.

 

Dia terus saja berkata ketika tangan saya masih dalam genggamannya yang tidak dilepaskannya sejak tadi. “Saya nasihatkan Dato’ supaya dalam menjalankan kerja harian Dato’, marilah kita sama-sama ikut Sunnah Rasul sallallahu alaihi wasallam.” Kawan-kawannya yang lain yang berada di sekeliling menyambut sebutan selawat itu secara beramai-ramai.

 

Saya terpegun seketika dan merasai tercabar semacam hidup saya ini belum mengikuti Sunnah Rasul walaupun sedikit. Mungkin secara halus mereka menyindir saya kerana tidak berkopiah, tidak berjubah dan tidak berjanggut seperti mereka. Atau mungkin di ruang tamu rumah saya ini dihiasi gambar besar keluarga saya dan gambar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

 

Saya ingin mendapat penjelasan mereka dan menjemput semula mereka masuk ke dalam rumah. Saya terus saja bertanya, “Apakah saudara dapat terangkan kepada saya erti dan maksud sunnah Rasul?”

 

Mereka berpandangan antara satu sama lain. Kemudian seorang daripadanya menjawab secara tertib dan beradab. Dia meminta maaf lebih dahulu dan berkata: “Semua perbuatan, semua perkataan dan semua pengakuan yang keluar (dipraktikkan) daripada Nabi adalah semuanya sunnah.”

 

Saya memberi pengakuan bahawa takrif yang disebutkan itu adalah benar dan betul. Tetapi apakah semua sunnah sebagaimana yang difahaminya itu dari segi hukumnya wajib diikuti. Saya mencampakkan soalan ini kepada mereka, tetapi tidak ada yang bersedia untuk menjawabnya.

 

Saya agak kasar memberi penjelasan, kerana saya merasai mereka menganggap bahawa saya dan orang yang serupa dengan saya ini tidak sempurna Islamnya kerana tidak berpakaian seperti mereka dan di dinding rumah saya dihiasi dengan gambar-gambar makhluk bernyawa.

 

“Saya mohon maaf untuk berkata bahawa awak adalah orang pertama yang akan menjadi penghuni neraka.”

 

Mereka terkejut kehairanan dan berpandangan sesama mereka. Saya terus saja bertanya: “Apakah awak semua ini beristeri dengan seorang perempuan tua yang sudah janda dua kali? Saya tidak fikir begitu. Jika demikianlah maka awak semua berdosa kerana tidak mengikut sunnah sebagaimana yang awak semua faham.”

 

Jika semua sunnah wajib diikut, maka semua lelaki dan perempuan Islam hari ini sudah tidak dapat berkahwin lagi, kerana isteri pertama bagi seorang lelaki itu mesti seorang perempuan janda tua. Di mana mendapatkan janda kerana seseorang itu hanya menjadi janda apabila dia sudah bersuami.

 

Kemudiannya saya terus menjelaskan pengertian sunnah dan memberitahu mereka bahawa perkara-perkara berhubung dengan kehidupan khusus Nabi, hal-hal peribadi baginda, amalan kebiasaan orang Arab, cara-cara makan minum dan pakaian mereka dan sebagainya tidaklah menjadi sesuatu hukum yang wajib diikuti.

 

Bahkan hal-hal berhubung dengan pentadbiran keduniaan ini, Allah tidak menentukan prosedur pelaksanaannya secara tetap (rigid) melainkan dalam bentuk umum, kerana ia tertakluk kepada perubahan masa dan perbezaan tempat.

 

Memang benar bahawa Islam itu mencakupi dan melengkapi segala-galanya (syumul dan tadhamun), tetapi ia tidak jumud dan beku. Sifatnya dinamik dan bertenaga. Ia tidak menyediakan jawapan yang terperinci bagi setiap masalah yang timbul, kerana setiap masalah itu berbeza dan jawapannya sudah tentu tidak serupa menurut tuntutan zaman dan tempat yang sifatnya tidak sama.

 

Saya menegaskan, “Awak semua selesa simpan janggut, pakai jubah dan berserban dengan ekor serban yang panjang, pakailah. Saya hormat dengan pakaian awak begitu. Mungkin pakaian begitu dapat menghalang awak daripada melakukan kerja-kerja mungkar dan maksiat. Tetapi janganlah menganggap orang lain yang tidak serupa dengan awak sebagai dosa.”

 

Kemudian seorang daripada mereka menceritakan, “Antara kami ramai yang telah melakukan zina, minum arak, tidak pernah mengerjakan ibadah sembahyang dan puasa. Tetapi setelah berkenalan dengan jemaah Tabligh, terus saja kami dapat meninggalkan segala dosa besar itu. Hati kami pula merasa suci, tenang dan dapat pula kami keluar berdakwah kepada orang lain.”

 

“Baguslah,” jawab saya. “Tetapi pakaian yang serebeh, selekeh dan tidak kemas seperti tidak kemasnya pakaian golongan ‘hippi’ bukanlah tuntutan Islam. Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta kamu, tetapi Dia memandang kepada hati kamu dan amal kamu.” Hadis ini tidak boleh dijadikan hujah untuk hidup secara serebeh dan selekeh tanpa disiplin yang teratur.

 

Meninggalkan rumah tangga dan keluarga dengan menentukan masa tujuh hari, empat puluh hari atau empat bulan itu bukanlah ajaran Islam. Mencipta ajaran baru yang tidak ada dalam ajaran Islam boleh terjebak kepada pembaharuan dalam agama yang menyesatkan (bidaah dhalalah).

 

Suatu hadis bermaksud: “Jangan kamu mengadakan sesuatu yang baru dalam beragama, kerana benda yang diadakan itu bidaah. Setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu berakhir di neraka.” Lebih buruk lagi apabila ada di kalangan anggota Tabligh ini melibatkan dalam perkara hukum yang dia tidak tahu. Dengan demikian berlakulah yang haram menjadi harus dan yang harus bertukar menjadi haram. Saya selalu dengar kata-kata mereka: “dunia ini seperti bangkai dan penghuninya anjing.”

Ayat-ayat al-Quran yang menggambarkan kebaikan hidup di akhirat dicerita dan diberikan ulasan yang difahami sebagai mencela dan mencerca dunia.Kesannya, ramai di kalangan mereka yang cuai dan mengabai tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat, bahkan lupa kepada tugas yang dipertanggungjawabkan dan kerjayanya dalam bidang yang berkenaan. Ketika ini mereka sudah menjadi kabur dan keliru untuk membezakan antara yang penting dengan yang lebih penting, bahkan tidak tahu ‘memparakkan’ antara fardu ain dengan fardu kifayah.

Paling malangnya, ada pula yang berkata bahawa keluar meninggalkan rumah tangga itulah sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah. Jika berlaku kesulitan kepada anak-anak dan isteri di rumah, maka itu dianggapnya sebagai takdir. Mereka tidak diberi pengetahuan bahawa kedatangan takdir itu, baik buruknya, adalah akibat daripada sebab musabbab yang berlaku sebelumnya.

 

Memang ramai sahabat pada zaman Nabi dan Khulafa Rasyidin yang keluar berdakwah, tetapi mereka keluar dengan ilmu yang penuh di dada. Mereka faham al-Quran dan hadis, juga tahu berijtihad jika berada dalam keadaan yang memerlukan demikian. Mereka juga keluar tanpa ditentukan masa.

 

Tidak dapat dinafikan ada masjid yang ramai berjemaah kesan daripada gerakan Tabligh. Tetapi lebih berkesan lagi sekiranya kesempatan jemaah yang ramai itu ditanamkan ‘semangat tuntut ilmu’ dalam pelbagai bidang yang berbeza sehingga dapat memenuhi keperluan umat Islam. Timbulkan kesedaran bahawa Allah tidak memuliakan orang miskin, kerana kemiskinan boleh menjejaskan iman dan takwa. Tingkatkan semangat supaya rajin beramal dan bekerja bagi pengukuhan ekonomi dan kemantapan sosial rakyat yang beragama Islam.

 

Tabligh akan dihormati apabila ianya mempunyai peranan menanam dan menyuburkan kesedaran bahawa hidup di dunia ini juga penting bagi umat Islam. Walaupun batas hidupnya amat terhad, tetapi anak cucu dan warisan yang merupakan generasi bangsa perlu hidup berterusan secara sambung menyambung. Mereka tidak mungkin dapat hidup dan meneruskan warisan bangsanya dalam keadaan miskin dan lemah.

Sumber : http://islamhadhari.net/?p=111

Soal Puasa Bulan Rejab, & Kelebihan Rejab (Bhg. 4)

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 (Anda Sedang Membacanya)

(sambungan dari entry sebelum ini..) 

Seterusnya Al Allamah Ibnu Hajar menambah::

Telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) memandubkan (yakni sunat) berpuasa di BULAN-BULAN HARAM (yakni bulan-bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam, dan Rejab). Padahal Rejab adalah sebahagian dari bulan-bulan Haram.

Riwayat dari Abi Daud dan lain-lainnya, dari Urwah, bahawa beliau telah bertanya Abdullah bin Umar (رضى الله عنها) ::

“Adakah Rasululah (صلى الله عليه وسلم) berpuasa dibulan Rejab?

Beliau menjawab:

“Ya dan baginda melebihkannya.”

Ibnu Umar mengatakannya sampai tiga kali.

Dan sesungguhnya Abu Qilabah telah meriwayatkan::

“Sesungguhnya dalam Syurga ada sebuah mahligai bagi sesiapa yang berpuasa di bulan Rejab”.

Imam Al Baihaqi mengulas “Abu Qilabah salah seorang Tabi’in yang tidak akan berkata mengenainya melainkan diambilnya dari seorang Penyampai (Sahabat).” Maka tsabitlah sunat berpuasa di bulan Rejab, bukan makruh. Sesungguhnya pendapat yang mengatakan ianya makruh juga adalah fasid (yakni batal) bahkan salah (yakni tidak betul) sebagaimana yang telah engkau ketahui kelebihan/fadhilat puasa Sya’ban, padahal puasa Rejab terlebih afdhal darinya. Kerana seafdhal-afdhal bulan selepas Ramadhan ialah Bulan Muharam, kemudian baki-baki bulan Haram, akhirnya barulah Sya’ban.

Ulasan:

Sebahagian manusia mengatakan Nabi (صلى الله عليه وسلم) tidak pernah berpuasa Rejab. Tidak ada nash berpuasa Rejab. Lantaran itu (menurut mereka) haram dan bid’ah puasa Rejab, atau segolongan yang lain mengatakannya makruh. Menurut mereka, kalau kita berkepercayaan Nabi (صلى الله عليه وسلم) ada berpuasa di bulan Rejab, maka haram sebab dusta kepada Nabi (صلى الله عليه وسلم). Ataupun menurut segolongan lagi dari mereka, kalau hendak buat juga tapi mengkhususkan niat puasa bulan Rejab maka makruh sebab (kununnya) tak ada dalil hadits yang terang.

Sebenarnya semua kenyataan tersebut salah. Jikalau pihak berkenaan menafikan Nabi (صلى الله عليه وسلم) pernah berpuasa Rejab dengan sebab tidak kerana kejahilan pihak berkenaan, maka hendaklah mereka bertaubat. Kalau sengaja-sengaja berbuat dusta dan kacau-bilau dalam soal kefahaman agama, maka pihak Kerajaan mestilah mengambil tindakan.

Cuba kita lihat satu hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di bawah perenggan ini nanti, iaitu satu lagi hadits yang mana tidak disangsikan lagi akan keshahihannya. Yang sangsi adalah mereka yang di dalam hati berpenyakit seperti seolah-olah mereka ini gila dunia dan kemasyhuran, sedangkan diri mereka nampaknya bukanlah orang yang layak memperkatakan soal agama yang sedemikian rupa. Seperti juga keadaannya penyakit yang sudah ditimpakan kepada

- golongan yang anti-ulama’ (seperti menafikan autoriti dan keilmuan ulama’ dengan mengatakan tiada ”priest” dalam Islam, yang mana di sini mereka jelas menyamakan agama ini dengan agama sesat seperti Kristian dan Yahudi yang mempunyai “priest” ataupun “Rabbi” mereka), ataupun

- golongan anti Ahli Sunnah, dan juga

- golongan anti Mazhab (yang menyatakan siapapun layak bercakap soal agama khususnya dalam hal ehwal fundamental TANPA ilmu yang mencukupi di mana cakapan mereka disebarluaskan kepada orang ramai, bukannya terhad untuk kegunaan diri mereka sendiri yang bermasalah itu).

Mudah-mudahan dijauhkan kiranya oleh Allah Ta’ala akan kita semua daripada tipudaya dan kerosakan serta kesesatan kefahaman Islam yang timbul pada golongan-golongan ini. [نعوذ بالله من ذلك].

Usman bin Hakam Al Ansori berkata::

”Saya telah bertanya Sa’id bin Jubair berkenaan puasa Rejab sedangkan kami ketika itu masih berada di bulan Rejab.”

Beliau (Sa’id ) menjawab:

”Saya telah mendengar Ibnu Abbas (رضى الله عنها) berkata: Adalah Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) berpuasa sehingga kami mengatakan (menyangka) baginda tidak berbuka (tidak berhenti puasa), dan baginda berbuka sehingga kami mengatakan (menyangka) baginda tidak berpuasa“. – Riwayat Muslim.

Terang dan jelas dalam hadits ini yang mana menunjukan bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) berpuasa Rejab, dan mereka yang mengatakan bahawa Nabi tidak pernah berbuatnya adalah dusta.

Kalau mereka berkata:

”Aah itu hadits yang menunjukan harus puasa di bulan Rejab, bukannya sunat. Memang dibolehkan jika berpuasa tanpa mengaitkan bulan Rejab. Sebab dalilnya hanya bersandarkan dalil yang umum akan hadits Shahih riwayat Muslim tersebut.”

Jawabnya:

Lihatlah bagaimana mereka cuba berpusing-pusing. Mula–mula mereka mengatakan tidak sunat puasa Rejab sebab tak ada dalil Nabi (صلى الله عليه وسلم) puasa padanya. Kemudian berdalih pula mengatakan hadits Muslim tersebut menunjukkan hanya hukum harus bukan hukum sunat sebagaimana yang disepakati oleh jumhur ulama kaum Muslimin.

Lihatlah akan Syarah/Keterangan hadits tersebut dalam Kitab Syarah Muslim 8, ms 38-39, cetakan Daarul Syaqafah:

Bab: “Berpuasa Nabi (صلى الله عليه وسلم) di bulan yang selain bulan Ramadhan”.

Maksudnya::

“Yang dzahir, bahawa maksud Sa’id bin Jubair dengan istidlal (pengambilan hukum) dengan hadits ini bahawa puasa Rejab tidak ditegah dan tidak disunatkan berdasarkan hadits ini untuk ain (yakni diri atau perkara) puasa Rejab itu.

Bahkan sebaliknya bagi puasa Rejab (iaitu) sama hukumnya dengan hukum selebihnya bulan-bulan (yakni dengan hukum puasa di bulan-bulan haram). Tidak tsabit pada berpuasa Rejab tegahan dan tidak “tidak sabit” nadab (sunat ) bagi diri Rejab , tetapi asal hukum berpuasa Rejab adalah disunatkan.

Di dalam Sunan Abi Daud (disebutkan) bahawa Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) men-sunat-kan berpuasa di bulan-bulan Haram. Padahal Rejab adalah salah satu dari bulan-bulan Haram. Wallahu a’lam”.

Maksud sebenar keterangan Imam Nawawi sebagaimana yang ditulis beliau dalam kitab Syarah Muslim karangannya itu adalah hanya sanya dalil ”Kesunatan Rejab” tidak berdalilkan dengan ain/diri hadits tersebut. Bukan menafikan ”Kesunatan berpuasa di bulan Rejab”. Perhatikan baik-baik perkara ini.

Memang, berdasarkan hadits tersebut kita dapat fahamkan:

1) Nabi (صلى الله عليه وسلم) pernah berpuasa di bulan Rejab. Menafikannya sebagai tidak pernah berpuasa di bulan Rejab dan tiada sunnahnya berpuasa di bulan Rejab adalah satu pembohongan yang mentah-mentah mesti ditolak oleh mereka yang mengerti.

2) Hadits tersebut dilalahnya menunjukan harus berpuasa di bulan Rejab. Bukan sunat, bukan juga makruh, dan barang dijauhi akan ke-haram-annya.

3) Sekalipun hadits tersebut tidak menjadi ain/diri dalil kesunatan berpuasa Rejab, tetapi berpuasa di bulan Rejab tetaplah juga hukum nya sunat berdasarkan Hadits-hadits Shahih yang mentsabitkan puasa di bulan Haram. Misalnya adalah hadits riwayat Imam Ibnu Khuzaimah yang disebutkan sebelum ini dan hadits riwayat Imam Abu Daud yang juga telah meriwayatkan “Seafdhal-afdhal puasa adalah puasa di bulan-bulan Haram”.

Sebagai penjelasan, Imam Nawawi menyebut “Ashlu Shaum mandubun ilaih” yang mana maksudnya ” asal hukum berpuasa adalah mandub, iaitu disunatkan”. Ditahqiqkan dengan kenyataan “bulan Rajab adalah salah satu daripada Tadhamun kepada makna ‘Asyh harul Haram”.

Tidak ada satu hadits sama ada yang bertahap Shahih mahupun Hasan yang boleh dijadikan dalil pentakhisan untuk hadits “Asyharul Haram” yang umum maknanya itu. Bahkan hadits tersebut akan menunjukkan Rejab adalah sebahagian afradnya (yakni satu bulan daripada bulan-bulan haram).

Hadits yang khusus berkenaan puasa Sya’ban dan bulan Muharam tidak pula sah dan boleh dipakai sebagai pentakhsisan hadits “Asyhurul Haram” sehingga melibatkan puasa di bulan Rajab. Sebabnya Muharram, Sya’ban dan Rajab adalah ain atau diri atau masa yang berlain-lainan. Sya’ban bukan bulan Haram. Sya’ban mempunyai dalil yang tersendiri. Sedangkan Muharram dan Rejab adalah afrad daripada “bulan-bulan Haram”. Hadits khusus berkenaan fadhilat Muharram tidak akan melibatkan Rejab. Maka bulan Rejab tepat di atas hukum asalnya iaitu sunat sebagaimana yang dicatit oleh Imam Nawawi tersebut, iaitulah dengan catatannya “Ashlul Shaumi Mandhubun ilaih”.

4) Juga difahamkan tentulah berlaku perbezaan bulan Rajab dengan bulan-bulan selain dari bulan Haram, misalnya bulan Safar. Bulan Safar tidak termasuk bulan-bulan Haram. Bulan Rejab adalah bulan di mana sunat berpuasa di dalamnya berdalilkan hadits-hadits yang telah lalu. Sementara bulan Safar pula misalnya tidak disunatkan berpuasa sebab tidak ada dalilnya.

Oleh yang demikian, jika ada orang yang berkata:

“Tidak ada langsung bezanya bulan Rejab dengan bulan-bulan yang lain, sebab semua hadits-haditsnya adalah maudhu’ dan dhaif. Tidak ada fadhilat, tidak ada pahala, dan kalau puasa pun tidak ada ketentuan berpuasa di bulan Rejab dengan berniat umpamanya: ”Sahaja aku puasa esok, di bulan Rejab….”;

maka satu lagi perkara bohong telah timbul. Sebab memang terdapat perbezaan antara bulan Rejab dengan bulan selain bulan-bulan Haram seperti bulan Safar tersebut, menunjukan ada fadhilat atau kelebihan Bulan Rejab.

Maka kita ulangi lagi, “Adalah mereka yang menafikan secara mutlak fadhilat bulan Rejab adalah melakukan kesalahan yang mesti ditangani oleh pemerintah, lantaran perbuatan menyalahfahamkan keterangan yang hak yang menjejaskan kepentingan awam”.

5) Maka sebenarnya hendaklah difahami, bahawa Imam Nawawi hanyalah menyatakan hadits Muslim tersebut tidak menjadi ain dalil berpuasa Rejab sahaja. Bukan kerana berpuasa Rejab tidak ada dalilnya. Kedua-duanya adalah berbeza.

Ada lagi seorang hamba Allah mengatakan, tidak betul huraian awak ini sebab Imam Nawawi tidak berkata secara khusus berpuasa di bulan Rejab, sehingga boleh ditentukan niat berpuasa Rejab secara khusus.

Jawabnya:

Kenapa Imam Nawawi mengatakan ” Ashlu Shawumi Mandubun ilaih”? Cuba pula awak jelaskan?.

Sila lihat pula kitab Majmu’ Syarh Al-Muhazzab juzuk 6 ms 386:

“Sebahagian dari puasa yang disunatkan, ialah puasa dibulan-bulan Haram, iaitu Zul Qa’edah , Zul Hujjah, Muharram dan Rejab”.

Di sini menunjukkan sunat puasa Rejab dan adanya pengkhususan puasa Rejab serta niat-niatnya.

Oleh yang demikian, setiap Muslim semestinya faham untuk membezakan di antara terdapatnya hadits-hadits maudhu’ dan dhaif yang menghikayatkan kelebihan berpuasa di bulan Rejab dengan ketiadaan dalil kelebihan berpuasa di bulan Rejab. Kedua-duanya perkara tersebut sebenarnya adalah perkara yang berlainan.

Jangan terkeliru dan terpedaya dengan kata-kata atau tulisan mereka yang tidak bertanggung jawab ini, yang mungkin kononnya terlalu asyik menjaga masyarakat agar tidak berpegang dengan hadits-hadits yang dusta terhadap Rasulullah (صلى الله عليه وسلم). Nampaknya mereka langsung terlajak menolak terus sunat berpuasa di bulan Rejab.

Sebenarnya kaedah atau metod mereka sama saja bila berhadapan dengan sebarang isu agama khususnya hukum-hukum agama yang telah maklum diketahui orang ramai. Mereka biasanya mencari-cari ruang sedapat mungkin untuk dikritik habis-habisan fatwa-fatwa para ulama’ Muktabar mengikut kaedah mereka yang kebanyakannya adalah mengelirukan. Bahkan mereka sehingga ke tahap berhempas pulas mencanangkan di segala majlis dan tempat dan media akan cogan kata “Hendaklah menilai semula fatwa-fatwa ulama’, jangan ikut sahaja membuta tuli”. Padahal dalam kebanyakan hal merekalah yang terlebih buta, terutama dalam konteks memahami ibarat-ibarat dan maksud kata-kata dari para ulama’ muktabar berkenaan.

والله سبحانه وتعالى أعلم Wassalam.

السلام عليكم ورحمة الله

Oleh kerana hendak cepat menjelaskan, hampir keseluruhan keterangan di atas saya perolehi dari bahan yang disediakan oleh seorang Syeikh yang alim lagi mahir ilmunya iaitu Syeikh Abd. Raof Al Bahanjee, seorang guru di sebuah pondok di Tampin, Negeri Sembilan. Saya telah mendapat kebenaran daripada beliau dalam proses ini, begitu dengan kebenaran memperbaiki keterangannya jika perlu dengan melakukan proses yang sewajarnya seperti tahqiq sesuatu hadits dan lain-lain sebelum disiarkan. Jadi, jika saudara/i dapati ada sedikit perbezaan keterangan di sana sini, ianya timbul dari saya sendiri – sekiranya terdapat sebarang kesilapan dalam penulisan yang dibuat.

Selepas ini akan diikuti pula dengan keterangan dari saya sendiri. InsyaAllah. Sedang menyediakannya. Kerana saya cuba mengumpulkan satu himpunan bahan yang (mudah-mudahan) dapat memberikan satu “full-stop” atau sekurang-kurangnya penjelasan kepada semua cara-merba yang di bawa oleh segelintir golongan, dan pendokong-pendokong mereka seperti beberapa pihak yang memberikan dan mengulas hadits secara salah dan jauh dari kebenaran. Jelas bahawa mereka memperkatakan sesuatu tentang hadits Rasul saw tanpa ilmu yang mencukupi tetapi ironisnya mendakwa pihak lain pula melakukan demikian.

Wallahu A’lam. Wassalam.

(blitz-roudhah)

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 (Anda Sedang Membacanya)

Soal Puasa Bulan Rejab, & Kelebihan Rejab (Bhg. 3)

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 (anda sedang membacanya) | Bahagian 4

(Sambungan dari posting sebelum ini…) 

 Ada banyak terminologi atau istilah ilmu hadits yang digunakan dalam posting kali ini, seperti- shohih (kadangkala ditulis shahih),

- dhoif (kadangkala ditulis dhaif),

- maudhu’,

- marfu’,

- Mursal,

- Munqothi’,

- Mu’dhal,

- Mauquf,

- Isnad,

- Fadho ilil A’mal (ringkasnya, fadhilat atau kelebihan ke atas sesuatu amalan),

- Ijma’ (ringkasnya, kesepakatan para atau majoriti ulama’ yang muktabar pada sesuatu perkara / masalah dan penyelesainnya / ketetapannya).

Saya tangguh dulu keterangan atau huraiannya untuk kelancaran penerangan semasa. InsyaAllah, saya akan huraikannya pada masa akan datang dalam thread ini juga

Wassalam.Dari satu sudut memang betul terdapatnya banyak hadits-hadits yang maudhu’, iaitu yang dusta berkenaan Puasa Rejab walhal para Imam (alim ulama’) kita tidak langsung berpegang dengan hadits-hadits maudhu’ tersebut sebagai dalil (akan) sunatnya Puasa Rejab. Jauh sekali daripada mereka bertindak sebegitu. Sebenarnya hanyalah mereka berdalilkan sepertimana yang telah dinyatakan (dalam postings sebelum ini) dan terdapat lagi hadits-hadits dan dalil-dalil yang lain yang akan dibincangkan selepas ini dan akan datang. Insya Allah Ta’ala.

Sebahagiannya, sepertimana terdapatnya hadis-hadis yang popular yang diberikan di bawah::

1) Diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Anas ra., beliau telah memarfu’kannya:

إن في الجنة نهرًا يُقال له رجب، ماؤه أشدُّ بياضًا من اللبن وأحلَى من العسل، مَن صام يومًا من رجب سَقاه اللهُ من ذلك النّهر.

Ertinya::

“Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu”.

(2) Riwayat daripada Abdullah bin Said dari bapanya (dan) beliau memarfu’kannya:

مَن صام من رجب يوما كان كصيام سنة ومن صام منه سبعةَ أيّام غُلِّقت عنه أبواب جهنم . ومن صام منه ثمانيةَ أيام فُتِّحتْ أبوابُ الجنّةِ ، ومن صام منه عشرة أيام لم يسأل الله شيأ الا أعطاه الله اياه , ومن صام خمسة عشر يوما نادى مناد من السمأ قد غفر لك ما سلف فاستأنف العمل وقد بدلت سيِّئاتك حسنات ومن زاد زاده الله.

Ertinya::

“Barang siapa berpuasa sehari didalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu tahun, dan siapa yg berpuasa di dalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka Jahannam, dan barang siapa yg berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barang siapa yg berpuasa 10 hari, tidaklah jika dia berdoa melainkan akan dimakbulkan Allah, barangsiapa yang berpuasa 15 hari, menyerulah penyeru dari langit “Sesungguhnya telah diampunkan bagimu perkara yang telah lalu maka dimulai amal yang baru, dan sesungguhnya telah digantikan segala kejahatan engkau dengan kebajikan dan barangsiapa yang melebihkannya maka melebihkannya oleh Allah”.

Kemudian Al Baihaqi telah menaqalkan daripada gurunya Al Hakim bahawa hadis yang pertama di atas adalah statusnya Mauquf atas Abi Qilabah seorang daripada Tabi’in. Orang yang seperti beliau tidak akan berkata-kata melainkan diambil daripada seseorang (iaitu para sahabat) yang perkataannya diambil pula daripada Tuan yang menerima wahyu (iaitu Rasulullah saw).

Mengenai hadits yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah pula (iaitu):

“Bahawa Nabi saw tidak pernah berpuasa selepas Ramadhan melainkan Rejab dan Sya’ban“,

beliau berkata Isnad hadits tersebut Dhaif.

===> Tammat komentar Ibnu Sholah. <===

Syekh Al Allamah Ibnu Hajar menjelaskan pula fungsi hadits-hadits Dhoif yang berkisar dalam masalah Puasa Rejab ini. Beliau menulis di muka surat 5.

“Sesungguhnya para ulama’ telah menetapkan bahawa hadits-hadits Dhaif, Mursal, Munqothi’, Mu’dhal dan Mauquf diamalkan dengannya pada Fadho ilil A’mal atas dasar IJMA’. Maka tidak syak lagi bahawa berpuasa Rejab adalah sebahagian daripada Fadho ‘ilil A’mal. Memadailah padanya dengan hanya berdalilkan hadits-hadits Dhaif dan yang sepertinya, tiadalah diingkari demikian itu melainkan orang-orang yang JAHIL YANG TERPEDAYA”.

Walaubagaimana sekalipun, selain daripada kenyataan Al Allamah Ibnu Hajar mengenai memadai untuk beramal pPuasa di bulan Rejab dengan beriktibar kepada hadits-hadits yang tersebut sekalipun ada yang dhaif, beliau juga menjelaskan lagi mengenai terdapatnya hadits-hadits yang bertaraf shahih sebagai pegangan para ulama’ yang memfatwakan Puasa Rejab adalah SUNAT.

Kita lihat dimuka surat 22 di mana beliau menulis:

“Bahawa yang sebenar adalah perkataan dari orang yang berkata: Sunat berpuasa hari Isnin dan Khamis, Rejab dan baki hari-hari di Bulan Haram. Sesiapa yang berkata sebaliknya, iaitu “Tidak sunat” dan menegah manusia (dari mendapatkan fadhilatnya) dengan berpuasa, maka orang tersebut salah dan berdosa. Kerana penghujung kedudukan orang tersebut sebenarnya adalah bertaraf seorang Awam.”

[Ulasan: Orang awam tidak boleh sewenang-wenang memberi fatwa dan tidak harus diikuti. Maka seseorang awam yg cuba-cuba berfatwa adalah berdosa dan haram diikuti.]

Pada muka surat 23 beliau menyebut lagi:

”Sepertimana satu hadits yang telah meshahihkannya oleh Ibnu Khuzaimah daripada Usamah ra. ::

Saya (yakni Usamah) berkata:

”Wahai Rasululah! Saya tidak pernah melihat Tuan berpuasa sepanjang bulan daripada seluruh bulan sepertimana Tuan berpuasa bulan Sya’ban?”

Baginda saw menjawab:

”Demikian itu adalah satu bulan yang lalai manusia daripadanya yang berada antara Rejab dan Ramadhan. Maka bulan Sya’ban adalah satu bulan yang diangkat di dalamnya semua amal ke hadrat Rabbil A’lamin. Maka aku suka bahawa diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa”.

Maka mengisyaratkan oleh Rasulullah saw tatkala melengkungi oleh dua bulan yang agung iaitu bulan Rajab dan bulan Ramadhan, yang mana manusia berlumba-lumba sibuk ( berpuasa dan beribadat ) dalam kedua-dua bulan tersebut, lantas terlupa bulan Sya’ban. Kerana yang demikian, kebanyakan ulama’ berpendapat puasa di bulan Rejab terlebih afdhal dari bulan Sya’ban.

Siapakah manusia yang sibuk berpuasa di bulan Ramadhan dan Rejab tersebut? Iaitulah Rasulullah saw dan para shahabat baginda. Sudah termaklum mereka adalah sebahagian daripada makna manusia dari lafaz hadits tersebut dan hadits ini juga menjadi dalil akan sunatnya berpuasa Rejab sebab lafaz “Maka aku suka bahawa diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa” adalah sabda baginda saw sendiri. Mengatakan Nabi tidak pernah berpuasa di bulan Rejab dan tidak sunnah berpuasa di bulan Rejab adalah satu pendustaan juga terhadap Nabi saw. Telah maklum hadis riwayat Imam Ibnu khuzaimah tersebut adalah hadis shahih.

(Wallahu Subhanahu Wa Ta’ala A’lam. Nanti ada sambungan lagi, InsyaAllah.)

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 (anda sedang membacanya) | Bahagian 4

Laman Berikutnya »


c

KALENDAR

November 2009
I S R K J S A
« Ogo    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Malaysian Muslim Blog

  • Malaysian Muslim Blogs

Tajdid

  • Pro-Tajdid Segar

Statistik

  • 28,175 lawatan